Muzik tradisional melayu adalah sangat luas kerana muzik tradisional melayu adalah berbeza mengikut negeri yang terdapat dalam negara ini.Sebagai contoh,Ghazal berasal dari negeri Johor,Kelantan terkenal dengan Dikir Barat manakala Ulek Mayang pula terkenal di negeri Terengganu.Terdapat juga muzik tradisional yang terkenal di seluruh Malaysia seperti Zapin,Joget,Gamelan dan sebagainya.Kepelbagaian ini menjadikan muzik tradisional melayu lain daripada yang lain.
GHAZAL
Ghazal merupakan satu kesenian tradisional masyarakat Melayu Negeri Johor yang popular. Pada peringkat permulaannya, seni muzik ghazal ini disebut sebagai Qamat yang bererti nyanyian dan beriuh rendah yang dikatakan berasal dari Tanah Arab. Pada akhir abad ke-19, kerajaan Johor menjalin hubungan yang erat dengan kerajaan Riau-Lingga. Beberapa orang dari golongan bangsawan Johor sering berulang-alik ke Riau. Mereka sering dihiburkan dengan permainan ghazal. Ada di antara mereka itu telah mempelajari kesenian ini dan memperkenalkan kesenian ini di istana Sultan Johor. Di istana, kesenian muzik ghazal ini telah mendapat perhatian daripada sultan, pembesar-pembesar negeri dan lain-lain golongan istana. Justeru itu, perkembangan ghazal ke peringkat rakyat jelata menjadi cepat dan pesat. Sehingga kini, muzik ghazal sering dimainkan di pelbagai acara atau keramaian yang diadakan di negeri Johor Darul Ta’zim.
Muzik tradisional ini sering dimainkan di majlis-majlis perkahwinan golongan bangsawan (pada masa dahulu), acara-acara keramaian yang dihadiri oleh Sultan Johor atau kerabat Diraja Johor, dan juga majlis-majlis rasmi yang diadakan di negeri Johor. Antara penyanyi-penyanyi terkenal yang telah mempopularkan irama ghazal Johor adalah Fadzil Ahmad, Datuk Sharifah Aini, Ramlah Ram, Rosiah Chik, Allahyarhamah Datin Rafeah Buang, Datin Orchid Abdullah dan ramai lagi.
alat muzik ghazal
DIKIR BARAT
Dikir Barat merupakan satu persembahan negeri Kelantan yang disampaikan secara berkumpulan. Setiap kumpulan biasanya diketuai oleh seorang Tukang karut dan Tok Juara.Tukang karut dan Tok Juara akan mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.
Tahukah anda?
Asal usul kewujudan Dikir Barat sehingga kini masih diperdebatkan, namun kebanyakan menerimanya sebagai bentuk seni yang datang dari selatan Thailand atau utara Semananjung Malaysia.Banyak kajian dilakukan untuk mengesan sejarah sebenar dikir barat di Malaysia. Menurut sumber sejarah, dikir barat wujud dari sebuah tarian yang dipanggil tarian Patung Inai iaitu tarian yang sangat popular dikalangan masyarakat Siam dan Kelantan sekitar tahun 1800 hingga 1940. Kemudian, seorang penggiat seni ini yang dikenali sebagai Pak Leh Tapang atau Haji Salleh menukarnya menjadi nama dikir barat.
Dalam lingkungan masyarakat petani, dikir barat dipersembahkan sebagai upacara keagamaan atau sambutan sempena musim menuai. Kini, persembahan dikir barat lebih berperanan sebagai satu bentuk hiburan. Begitupun, pertandingan antara kumpulan dikir barat juga sering diadakan. Sehingga kini, Singapura dan dua negeri di Malaysia - Kelantan dan Terengganu adalah antara negeri yang masih mempersembahkan dikir barat secara aktif.
Kita memanggilnya dikir, perkataan yang bunyinya ada persamaan dengan perkataan Melayu zikir yang bermakna doa atau amalan keagamaan, sesuatu yang dilihat oleh penduduk di utara semenanjung Malaysia dan diamalkan orang Thai setiap musim menuai padi. Barat pula bermakna kedudukan geografi, orang utara dulu menganggap Thailand berada di sebelah barat padahal dari segi kedudukan geografinya, ia berada di utara Malaysia. Memandangkan nama itu sudah sebati dengan penggunaan, ia kekal sehingga ke hari ini dan tidak pernah diubah.
alat muzik dalam dikir barat
ULEK MAYANG
Ulek Mayang merupakan sebuah tarian yang amat terkenal di negeri Terengganu.Asal usul tarian ini adalah sangat unik dan lain daripada yang lain kerana ianya dikatakan mempunyai kaitan dengan puteri bunian.
Tahukah anda?
Ada banyak versi legenda Ulek Mayang, menurut salah satu darinya, tarian ini berasal dari upacara rawatan kuno yang dilakukan oleh seorang bomoh ke atas seorang nelayan yang berada dalam keadaan tidak sedar,nelayan tersebut dipercayai telah dipukau oleh seorang puteri laut yang jatuh cinta padanya. Percubaan bomoh untuk membawa balik roh nelayan itu menyebabkan puteri itu menyeru 5 lagi saudaranya untuk melawan bomoh tersebut. Pertarungan di antara si bomoh dan keenam-enam puteri berlanjutan sehingga kemunculan puteri yang ketujuh dan paling sulung.
"Ku tahu asal-usulmu” kata puteri sulung dan beliau memerintahkan semua orang, "Yang laut balik ke laut, yang darat balik ke darat".
Bomoh yang terhutang budi dan rakan-rakan nelayan menyampaikan sembahan nasi berwarna kepada sang puteri, satu upacara yang kekal diamalkan sehingga kedatangan Islam, untuk menunjukkan rasa terhutang budi kepada semangat-semangat laut.
Kini,Ulek Mayang merupakan tarian tradisional Melayu yang berasal dari negeri Terengganu, Malaysia. Ia merupakan sejenis tarian penyembahan di mana sebuah lagu unik dinyanyikan dengan iringan orkestra Melayu yang terdiri dari gendang, gong, biola dan akordian.
tarian ulek mayang
Persembahan Dikir Barat: https://youtu.be/4ttLML_AlMg
No comments:
Post a Comment